Beautiful Nature:Gift of God

Loading...

Friday, January 21, 2011

Ke Negara Tembok Besar, Beijing, China

14 DISEMBER 2010 (SELASA)

Pada hari pertama kembara program, kami menaiki kapal terbang penerbangan Malaysia (MAS) ke Beijing, China. Kami berlepas pada pukul 12.30 a.m. dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Peking/Beijing pada pukul 6.20 a.m. Kami disambut mesra oleh wakil dari agensi pelancongan di Beijing iaitu Puan Mi Li. Beliau bertindak sebagai pengiring kami sepanjang lawatan kami pada kali ini. Kami pada mulanya dibawa untuk sarapan pagi di salah sebuah restoran Islam di sini. Selepas bersarapan, kami terus ke Kedutaan Malaysia ke China. Di situ kami mengadakan perbincangan secara tidak formal bersama dengan Setiausaha Kedutaan Malaysia ke China serta dengan para wakil pelajar di Beijing. Selepas sesi perbincangan itu, kami melawat Tiannamen Square dan Kota Larangan (Forbidden City). Buat kesekian kalinya kami berpeluang untuk melihat dua tempat bersejarah secara realiti dan bukan diimpi impikan lagi. Banyak maklumat dan fakta sejarah mengenai kedua-dua tempat tersebut yang kami perolehi. Seharian itu kami luangkan untuk melawat setiap pelosok bangunan-bangunan tinggalan sejarah itu. Menjelang petang, kami sekali lagi diberi peluang untuk menyaksikan persembahan akrobatik. Persembahan itu sememangnya memberi kepuasan kepada semua penonton yang datang melihat. Amat memuaskan hati dan menarik untuk sisipan bersama; untuk masa terluang.

15 DISEMBER 2010 (RABU)

Hari kedua lawatan muhibbah hari ini dimulakan dengan lawatan ke kilang jade dan kristal. Di situ kami berpeluang untuk melihat pelbagai jenis bentuk ukiran jade dan kristal, bagaimana bentuk-bentuk itu diolah hanya menggunakan tangan. Harga yang ditetapkan pun amat berpatutan bergantung kepada jenis jade dan kristal. Setiap batu jade dan kristal tersebut memberi maksud yang berbeza dan memberi pelindung kepada si pemakai. Selepas ke kedua-dua kilang tersebut, kami dibawa untuk melawat salah satu tujuh (7) keajaiban dunia iaitu Tembok Besar China. Kalau suatu ketika dahulu tembok besar ini merupakan sempadan antara orang Cina dan Manchuria untuk berperang, kini tinggalan sejarah ini menjadi tumpuan utama pelancong dari seluruh pelosok dunia. Sebelum menaiki tembok besar tersebut, kami bergambar beramai-ramai untuk kenangan. Kami berpeluang untuk menaiki tembok besar ini sampai ke puncak. Suatu pengalaman yang amat membanggakakan bagi kami delegasi dari Sarawak. Selepas menjelajah tembok besar, kami ke Stadium Olimpik Beijing. Untuk ke stadium tersebut, kena melintas jalan yang amat sibuk. Jadi, kami memutuskan untuk mengambil gambar stadium itu dari seberang jalan, begitu juga dengan Water Cube. Selepas mengambil gambar, kami ke Doctor Tea. Di situ kami berpeluang untuk merasa setiap jenis teh Cina yang disediakan. Demonstrasi membuat teh juga ditunjukkan dan kami didedahkan dengan maklumat khasiat teh. Penjelajahan hari kedua tamat dengan jayanya dengan kepuasan di setiap riak wajah para delegasi.

16 DISEMBER 2010 (KHAMIS)

Hari ketiga lawatan muhibbah dimulakan dengan perjumpaan dan perbincangan dua hala antara Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sarawak dengan pihak pentadbiran Peking University. Pegawai yang menyambut ketibaan kami ialah Puan Chong dan beliau berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Pengantarabangsaan, Universiti Peking. Kami terus dibawa ke bilik mesyuarat untuk memulakan sesi perbincangan. Persatuan pelajar yang sepatutnya mengiringi kami pada hari ini tidak dapat berbuat demikian kerana rata-rata mereka sedang menduduki peperiksaan. Walaubagaimanapun, objektif kami tercapai jua dengan perbincangan dua hala antara dua (2) universiti Malaysia-China. Pada sesi perbincangan itu, kami bertanya pelbagai jenis soalan yang banyak menyentuh perihal kebajikan pelajar, pengurusan universiti, hal ehwal semasa, politik, sosial dan aktiviti pelajar. Banyak perbezaan yang kami peroleh daripada maklumat yang diberikan oleh Puan Chong jika dibandingkan dengan pengurusan UiTM Sarawak. Selepas sesi tamat, kami menikmati makan tengah hari di salah sebuah restoran Muslim. Pada sebelah petangnya, kami ke Tsing Hua University. Pada mulanya kami tiba di universiti tersebut, kami tidak dibenarkan masuk ke dalam walaupun surat telah diusulkan sebelum lawatan. Hal ini adalah kerana dalam 2 minggu lagi mereka akan menduduki peperiksaan akhir dan pelawat adalah tidak digalakkan untuk masuk ke dalam kawasan universiti. Namun begitu, atas usaha 2 orang wakil pelajar di universiti tersebut, kami dapat masuk ke dalam dengan jayanya, tetapi hanya empat (4) orang sahaja yang dibenarkan. Walaupun begitu, kami berempat sempat mengambil gambar di sekitar universiti dan menemu bual wakil pelajar itu. Sambil berjalan mengelilingi kampus, kami bertanya soalan mengenai perihal pelajar di kampus dan Universiti Tsing Hua. Pertemuan kami dengan mereka amat singkat yakni 2 jam sahaja. Walaupun pertemuan kami agak singkat, namun banyak informasi yang kami dapat daripada pertemuan 2 jam itu. Kembara pada hari ketiga ditamatkan dengan membeli belah di Silk Market. Silk Market merupakan antara tempat yang kami kunjungi di mana di sini kami dapat melihat cara-cara masyarakat di Beijing berniaga selaras dengan objektif kami iaitu perniagaan serantau. Kami balik ke hotel pada pukul 10 malam selepas menikmati makan malam.

17 DISEMBER 2010 (JUMAAT)

Hari keempat lawatan muhibbah dimulakan dengan lawatan ke masjid di pinggiran bandar. Kami meluangkan masa hampir sejam di situ di mana delegasi yang beragama Islam menunaikan solat sementara yang lain sibuk bergambar. Dari masjid, kami terus ke pusat beli belah yang terletak tidak jauh dari bandaraya Beijing. Di situ kami berpeluang untuk membeli belah di samping membeli cenderahati untuk dibawa balik ke tanah air. Kami meluangkan masa hampir 2 jam di situ. Pada sebelah tengah hari pula, kami menikmati makan tengah hari di salah sebuah restoran Muslim. Pada pukul 2 petang, kami tiba di Renmin University. Kedatangan kami disambut dengan meriah oleh para wakil pelajar di situ. Kami amat terharu dengan layanan yang diberi. Sesi perbincangan kami dengan mereka juga sama, sepertimana dengan pihak wakil pelajar daripada dua buah universiti yang telah kami kunjungi sebelum ke Universiti Renmin. Daripada sesi perbincangan itu, kami dapat melihat perbezaan pentadbiran antara 3 universiti utama di Beijing. Universiti Renmin mengamalkan konsep kabinet di mana semua ahli wakil pelajar digelar ‘Menteri’ dan mempunyai bahagian yang mereka kendalikan. Amat berbeza sekali dengan universiti-universiti yang lain. Mereka juga amat aktif dalam mengadakan aktiviti dan rata-rata aktiviti yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan dan manfaat para pelajar di universiti itu sendiri. Perjumpaan dan perbincangan kami semua berlangsung selama 45 minit. Sebelum balik, kami sempat bergambar dengan para wakil pelajar Universiti Renmin. Kami balik ke hotel setelah menikmati makan malam pada pukul 8 malam.

18 DISEMBER 2010 (SABTU)

Sesungguhnya setiap pertemuan itu pasti ada perpisahan. Hari ini merupakan hari terakhir kami di negara Tembok Besar. Selama lima (5) hari kami di sini, banyak pengalaman yang kami dapat daripada lawatan muhibbah. Kami daftar keluar dari hotel pada pukul 5.30 pagi. Penerbangan ke Kuala Lumpur ialah pada pukul 8.55 pagi dan mengambil masa selama 6 jam. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 4 petang waktu Malaysia. Di balai ketibaan, kami sempat untuk mengambil gambar bersama sebagai kenangan. Penerbangan seterusnya ialah pada pukul 9.45 malam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 11.30 malam. Lawatan muhibbah telah mencapai objektif yang dirangka dan sesungguhnya para delegasi dari UiTM Sarawak amat berpuas hati dengan pencapaian yang dicapai.

1 comment: